Sunday, September 28, 2014

karya indie versus karya tradisional

dalam tempoh sela masa setahun dua ini aku lebih banyak membaca/membeli naskhah-naskhah berkonsepkan 'indie'
seperti juga karya-karya tradisional, ada pro dan kontranya.
pro.
-gaya penulisan dan laras bahasa yang lebih segar.
-lebih berani menyentuh dan meruntuhkan tembok-tembok tabu dalam dunia penulisan. baik dari segi isu mahupun cara teknik penulisan.
-lebih kritikal dan 'straight forward'

kontra.
- kadang-kadang gaya bahasanya merosakkan bahasa itu sendiri.
-kadang-kadang semua benda dan perkara hendak dikritiknya tanpa ambil kira apakah ianya benar-benar relevan. ada yang terlalu emosi.
-mengenai soal isu-isu tabu, bagi aku yang masih agak konservatif <boleh percaya ke?> sesetengah isu itu masih perlu dilontarkan secara berlapik. adab kena jaga. tak perlu nak tonjolkan semua perkara secara jelas, nyata dan terperinci hanya semata-mata untuk terlihat 'urban' dan berani menongkah arus.
-kadang-kadang isu yang dijuangkan tidak nampak praktikalnya. hanya gah dari segi teori. teori dan premis yang masih belum teruji dengan jitu.
sekadar repekan di malam hari. aku bukan ulat buku pun. nak habiskan pembacaan sebuah buku pun masih ambil masa yang agak lama.
p/s: sebelum mata terpejam erat, malam ini halwa telinga disajikan musik dari karya-karya salam musik. musik jamaica berjiwa malaysia. oh ya, aku juga ditemani senaskhah buku bertajuk KL Noir: White. antologi kisah-kisah hitam,putih dan kelabu kotaraya tanah tumpah darahku.
KL. kau nak jadi baik senang, kau nak jadi jahat pun senang. yang nampak baik mungkin dialah yang paling setan. begitu juga sebaliknya.

ada apa dengan konvokesyen?

alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi.

Semalam sudah selesai urusan pengambilan jubah untuk majlis graduasi yang bakal berlangsung pada 13 Oktober 2014 ini nanti.

bermula di CFS Pj pada tahun 2006 dalam jurusan asasi kejuruteraan. kemudian bersambung di UIA Gombak pada tahun 2008 dalam jurusan sarjana muda kejuruteraan. namun Allah lebih mengetahui, jodoh tidak kekal panjang. Bertukar jurusan ke sarjana muda pentadbiran perniagaan.

dan Alhamdulillah terlalu banyak hikmah yang ada disebalik kejadian ini. baik yang aku sudah berjaya cakna dan juga masih belum aku sedar.

sejujurnya aku tak ada apa yang aku teruja dengan majlis graduasi ini melainkan 2 perkara. perkara pertama, ini adalah salah satu hadiah yang mampu aku berikan pada kedua ayah bonda atas segala penat lelah mereka membesarkan aku serta kepercayaan mereka yang tidak berbelah bahagi kepada aku di saat orang lain agak skeptikal.

sementara perkara kedua ialah melihat wajah teman-teman seperjuangan yang tersenyum riang. dan tenaga positif dari mereka meresap terus ke segenap ruang di jiwa aku. InsyaAllah mereka semua adalah insan-insan berjiwa besar yang akan menjadi agen perubahan kepada masyarakat.

InsyaAllah kita sama-sama membawa obor perjuangan ummah. jika tak mampu nak buat perubahan yang besar, kita buat dahulu perubahan-perubahan yang kecil tetapi istiqamah. seperti motto yang digunapakai kelab Steadfast IIUM , "Sucikan dirimu, dan serulah yang lain" . motto yang diinspirasikan dari kata-kata hassan al-banna.

sejujurnya, dalam tempoh seminggu dua ini aku berada dalam keadaan motivasi yang agak merundum. entah sebab apa aku sendiri kurang pasti. tetapi seolah-olah jasadku diselubungi kepulan awan negatif. semua benda aku hendak merungut dan komplen. semua perkara yang dilakukan semuanya serba tidak menjadi.

tetapi, apabila menjejakkan kaki di uia dan bertemu pula teman-teman sepejuangan. alhamdulillah, pelangi positif mula menggariskan senyumnya. aura positif ada di mana-mana. apa yang aku nak tekankan ialah kekuatan dan kelebihan uia bukanlah pada bekas tugu dan air pancut yang ada di bulatan berhampiran pintu masuk utama, tetapi tunjang kekuatannya adalah pada orang-orang yang menghidupkan budaya ilmu dan suasana islamik di uia itu sendiri.

tak kiralah jika ada projek nak tukar air pancut dan tugu setiap tahun sekalipun, selagi masih ada orang-orang yang menghidupkan budaya ilmu dan suasana islamik uia, maka uia akan terus hebat dan menyumbang kepada pembangunan ummah. insyaAllah.

buat teman-teman yang bukan dari uia, aku harap anda tidak berkecil hati. anda juga adalah sebahagian daripada penyumbang kepada pembangunan ummah. ini semua tugas kita bersama, insyaAllah.

p/s: speacial thanks to steadfast IIUM, CENSERVE IIUM , BBA Council IIUM and KENMS. I did learnt a alot from these societies.

Saturday, September 20, 2014

7 tahun pertama buat graduan

nasihat yang sangat berguna.
7 tahun pertama.
alhamdulillah, sudah ada yang aku mulakan.

<salin dan tampal dari FB>

Panduan ini khusus untuk graduan muda, yang baru memasuki fasa 7 tahun pertama.

Jadi, selama 7 tahun pertama ini, jadikan 9 langkah mudah ini sebagai panduan hidup.

1. Buka akaun Tabung Haji secepat mungkin. Cukupkan simpanan RM 1,300 dalam akaun dan terus buat pendaftaran haji, walaupun masih bujang dan belum berkahwin.

2. Sasarkan simpanan sehingga wajib bayar zakat simpanan. Dan terus menyimpan menyimpan dan menyimpan.

3. Cari pasangan yang sudi naik kereta buruk sama-sama, asap hitam berkepul-kepul dan menyewa /duduk di rumah kecil-kecil sahaja dahulu. Sekufu dari sudut minda kekayaan.

4. Jangan beli kereta baru yang mahal-mahal. Graduan yang bijak tak terus beli kereta yang setiap tahun harganya pasti turun.

5. Dah bergatal bercinta, terus lah fikir bagaimana berkahwin tanpa perlu berhutang. Menabung. Elakkan jadi raja sehari seterusnya jadi hamba bank 10 tahun. Kalau tak mahu menabung, jangan langsung berfikir nak mengurat anak dara orang.

6. Beli aset sikit-sikit. secara kecil-kecilan. Apa-apa aset. Bajet khas pelaburan pertama.

7. Buat bajet siap-siap untuk:

Beri duit kepada mak bapak setiap bulan.
Bersedekah setiap bulan.
Melaksanakan ibadah korban setiap tahun.
Wajibkan diri untuk amalkan perbuatan memberi seperti ini sebagaimana kita komited membayar cukai pendapatan kepada LHDN atau cukai pintu kepada Majlis Perbandaran atau cukai tanah kepada Pejabat Tanah.

8. Sediakan bajet yuran pembelajaran pasal urus dan labur duit melalui buku, ebook atau seminar. Barangsiapa yang tak melakukannya bersedialah membayar cukai kebodohan pada masa hadapan nanti.

9. Pekakkan telinga dengan kawan-kawan yang asyik ajak melancong, minum kopi Starbucks / ngeteh malam-malam dan kutuk kita sebab tak pakai telefon berjenama mahal. Kalau kita tak cukup duit, ada dia nak bagi duit dekat kita ?

Masuk sahaja fasa ke-2, iaitu 7 tahun kedua, tuan pasti tersenyum lebar…

agamawan dan kiasan

bila sesetengah 'agamawan' yang berbeza pendapat sesama mereka pun main kias-kias dekat FB.

maka, apalah nak dihairankan dengan orang awam macam aku yang hobinya memang berkias.

cumanya, masalah akan selalu hadir bila orang-orang lain membuat kesimpulan mereka sendiri berdasarkan pemerhatian dan kefahaman mereka. dan kita tak boleh nak salahkan serkap jarang dari mereka. ini kerana kita sendiri yang menjemput mereka untuk bertindak begitu.

berani cakap,berani tulis.
berani jawab, berani tanggung.

dan sebagai tambahan untuk golongan 'agamawan' ini tadi, keadaan akan bertambah buruk apabila 'pengikut-pengikut' mereka pula yang turut sama bertelagah sesama mereka. malah lebih sudu dari kuah. masing-masing nak angkat tokoh merekalah yang paling benar. orang lain punya pendapat semuanya salah.

natijahnya, 'agamawan' tadi secara tidak langsung akan diuji dengan perasaan riak,ujub dan takabbur apabila melihat ramainya pengikut yang taksub mempertahankan hujahnya secara membuta tuli.

bukan semua agamawan adalah sebegitu tetapi tak mustahil mereka akan diuji sebegitu. analogi mudah, kalau ada tiga atau emapat orang yang 'like', 'comment' dan 'share' status fb kita atau puji gambar kita cantik/kacak pun kita dah terdetik sedikit perasaan bangga. inikan pula kalau dua tiga ribu yang berbuat begitu. siap ada kelab peminat lagi, tipulah kalau sedikit pun tak pernah goyah pendirian.

p/s: penyataan ini bersifat terbuka dan tidak ditujukan kepada sesiapa secara peribadi.

p/s/s: jauh dah merepek ni.

khayal

P: 'awak, nanti kalau awak kahwin jangan lupa jemput kita tau'
L: "Gila lah saya kalau tak jemput awak. dah tu saya nak nikah dengan siapa kalau bukan dengan awak"

pergh! budak tingkatan empat punya 'pick up line' . fuh! cekap budak-budak ni. aku yang 10 tahun lebih tua pun tak berapa nak yakin lagi bab ni. <perbualan dari situasi sebenar>

p/s: remaja yang cepat matang sebelum usia atau aku yang tak matang-matang lagi. apa pun kematangan bukan di ukur dari susunan nombor yang tertera di kad plastik berwarna biru itu. anda mungkin berusia 57 tahun tetapi masih lagi bersifat kebudak-budakkan.

p/s/s: aku nak menulis pasal satu perkara yang sangat penting tetapi ianya akan menyentuh sensitiviti pihak tertentu. masih cuba merangka susunan ayat dalam kepala agar ianya se'umum' mungkin dan tidak mengguris hati pihak-pihak tertentu. apa yang penting, kita sama-sama dapat ambil iktibar dari kisah tersebut.

dan aku percaya, bukan secara kebetulan kisah itu dikongsikan kepada aku. Allah tahu apa yang sedang dan akan aku hadapi dengan ujian yang sedang melanda diri. laksana ribut ganas yang senyap-senyap menghampiri di malam yang indah disinari cahaya purnama dan kerdipan bintang. tak sedar dalam keasyikan lena dengan keindahan yang menjelma, ada getar ribut yang bakal melanda. senyap tapi pasti.

api yang kecil biasanya terlihat indah. juga mampu menghangatkan apa jua yang kedinginan. mungkin juga mampu menghilangkan sepi yang telah lama menjadi teman. tetapi jika kita gagal atau cuai dalam mengawal api, dari kawan ia bisa pula menjadi lawan.

membakar segala apa yang ada disekelilingnya.
biar musnah semuanya. biar dia puas.

saat itu,ketinggian ilmu agama tidak lagi mampu menjadi benteng menahan asakan.

kerana kita sendiri mungkin sudah 'mabuk' dalam fitnah yang kita sendiri tak sangka terkena pada diri.

ikhtilat. kita mungkin fasih. tapi sejauh mana kita menjaganya?

bismillah.

nota kepala: sebelum meneruskan pembacaan dengan skrol butang ke bawah, suka untuk aku tegaskan bahawa apa yang aku nak kongsikan ini intipatinya ialah bukan 'SIAPA' tetapi ialah 'APA'. ya, 'apa' yang boleh kita ambil iktibar jika ada.

InsyaAllah, aku cuba menulis se'umum' mungkin untuk menjaga sensitiviti pihak tertentu agar tiada siapa yang akan berkecil hati. umpama tarik rambut dalam tepung. rambut tak putus, tepung tak berselerak. eh! macam tak kena sahaja peribahasanya.
-----------------------------------------------------------------------------------------

ikhtilat. sudah lama aku tidak mendengar istilah itu sejak aku tamat belajar dari uia. untuk makluman bersama, asal perkataan ikhtilat dari sudut bahasa adalah bercampur. Dari segi syara' ia membawa makna percampuran/pergaulan antara lelaki dan perempuan.

fuhh!!! berfikir lebih dari 100 kali sebelum aku nak tulis berkenaan perkara ini. sebabnya???. jawapan ringkas dan padat yang aku boleh bagi ialah sebabnya jujur aku sendiri pun tak betul-betul menjaga dalam bab ini. banyak perkara terlepas pandang dan ada yang 'tersengaja' terlepas pandang.
-----------------------------------------------------------------------------------
sayup-sayup datang angin sepoi-sepoi bahasa membawa perkhabaran dari negeri antah berantah. angin khabar yang datang secara tidak sengaja sebenarnya. membawa khabar tentang dua orang sahabat aku yang sedang diuji oleh Allah. ujian yang sangat berat pada aku jika aku berada di tempat mereka.

secara ringkasnya, ianya ujian tentang permasalahan ikhtilat. juga berkaitan dengan maruah dan jiwa. tiada keperluan untuk aku cerita secara terperinci tentang apa sebenarnya yang berlaku kerana aku sendiri juga bukanlah tahu kisahnya secara penuh. cukup sekadar untuk kita sama-sama ambil pengajaran dari kisah ini. insyaAllah.

secara relatifnya, lebih mudah sebenarnya kita untuk menjaga batas pergaulan kita apabila kita berada di khayalak. tetapi, tersangatlah sukar untuk kita menjaga batas pergaulan kita apabila kita tidak berada di khayalak. maksud aku, bila kita bersosial di media sosial. 'private message' di laman sosial, whatapps, wechat dan seangkatan dengannya. sukar untuk dijaga jika kita sendiri tidak tegas dengan seadanya.

niat kita untuk bersosial itu pada asalnya mungkin baik. sekadar berkongsi kata-kata nasihat, kata-kata motivasi, hal ehwal agama. dan kita merasakan itu sesuatu yang baik dan positif. bukan aku nak kata berkongsi perkara-perkara bermanfaat itu salah tetapi apabila ianya dikongsi melalui 'private message' kita sebenarnya secara tidak sedar sedang membuka fitnah kepada diri kita sendiri.

hati kita ini sifatnya berbolak balik. setegas-tegas kita dengan pendirian kita, kalau terlalu selalu berhadapan denagn perkara sama. jujurnya, kita mesti tersentuh juga kan. kat situlah syaitan akan cuba mainkan peranannya.

syaitan tadi akan menghamparkan 'magisnya' agar segala perbuatan kita itu tadi terlihat molek dan bagus. lalu kita akan semakin khayal dengan perilaku kita yang kononnya sedang melakukan ibadah sedang yang sebenarnya berlaku adalah sebaliknya.

dalam berhadapan isu ini aku suka mengambil iktibar dari kisah seorang abid bernama barshisha. untuk makluman banyak sumber mengatakan kisah ini adalah bersumber dari israeliyat dan ada juga yang mengatakan ianya adalah sebuah hadis palsu. wallahuallam, betulkan aku jika tersilap. tetapi, kita cuba ambil intipati pengajaran dari kisah barshisha.

secara ringkas, barshisha adalah seorang ahli ibadah yang sangat rajin. semua syaitan tidak berjaya menggodanya sehinggalah ada seekor syaitan datang dalam keadaan menyamar juga sebagai seorang ahli ibadah dan syaitan itu pun 'beribadah' lebih rajin daripada barshisha itu tadi.

oleh kerana terkagum dengan kehebatan syaitan yang beribadah itu tadi, barshisha pun bertanyakan tips untuk jadi lebih hebat beribadah.“Mulailah engkau melakukan maksiat kepada Allah, kemudian mulailah bertaubat kepada-Nya, sebab dia Maha Pengasih, sehingga setelah itu kamu pasti dapat merasakan kenikmatan dalam beribadah,” jawab syaitan yang menyamar tadi.

pada mulannya syaitan menggodanya untuk melakukan maksiat dengan berzina tetapi akal barshisha yang masih waras merasakan itu terlalu berat untuk dia melakukannya. lalu dia terus bertanya akan maksiat yang lebih kecil. lalu dia memilih untuk meminum arak.

diringkaskan cerita, setelah meminum arak yang dirasakan itu maksiat yang 'ringan' untuk dilakukannya, dia juga telah melakukan pelbagai maksiat lain seperti berzina dan membunuh.

pengakhiran cerita, barsisha ditangkap akibat kesalahannya dan bakal dihukum bunuh. sebelum hukuman dilaksanakan, syaitan sekali muncul menawarkan 'bantuan' bersyarat iaitu sujud kepadanya. lalu, matilah barshisha dalam keadaan syirik setelah bersujud kepada barshisha.

pengajaran dari cerita barshisha, syaitan mungkin tidak dapat menggoda kita dengan perkara-perkara besar kerana ilmu dan amal kita. tetapi dia akan cuba pesongkan kita dengan perkara-perkara yang lebih kecil termasuk perkara yang di'balut' dengan alasan ibadah dan dakwah.
----------------------------------------------------------------------------------------
aku adalah antara manusia yang tidak percaya kepada kebetulan. jadi aku percaya cerita ini bukan secara kebetulan 'tak sengaja' sampai kepada aku. bagi aku ini adalah salah satu petanda yang datang kepada aku sebagai peringatan kepada masalah peribadi aku sendiri. ya, walaupun masalah peribadi aku itu masih lagi bertahap 'mukadimah' tetapi ini bukanlah yang kali pertama berlaku.

berbalik kepada tajuk yang aku catatkan di atas, kita mungkin fasih tentang segala teori bab hukum tetapi belum tentu kita 'mahu' dan 'mampu' melakukannya apa lagi bila kita bukan di khayalak.

dan tujuan utama aku tulis berkenaan isu ini walau sangat berat<ironi> bagi adalah untuk perinagtan buat aku sendiri selain buat teman-teman yang ingin mengambil iktibar. aku tulis sebab aku sayang anda semua. kita semua bukanlah yang paling baik tetapi kita mesti sama-sama berusaha untuk jadi lebih baik.

aku sebenarnya terkenang kembali pengalaman aku semasa aktif dalam sebuah forum atas talian yang sering membahaskan dan membincangkan isu-isu seputar cinta. juga beberapa pengalaman bersama 'sahabat' walau mungkin tidaklah sampai se ekstrem ujian yang menimpa ke atas dua sahabat aku seperti di atas tadi.

cumanya, apa yang aku boleh kongsikan serba sedikit ialah kebanyakkan masalah ini berpunca kerana kita rasa sesetengah perbuatan kita itu adalah biasa bagi orang lain tetapi mungkin sahaja ianya adalah sesuatu yang sangat istimewa bagi orang lain. hati itu kan fitrahnya lembut dan berbolak balik sifatnya.

ya, jujur aku banyak silap dalam banyak perkara dalam hidup aku. lantaran itu aku tak nak kalau ada kawan-kawan lain yang buat silap yang sama macam aku.

ada banyak perkara yang aku tak sempat dan mampu nak luah atas kapasiti diri yang serba lemah dan kekurangan ilmu. tetapi aku sangat berharap agar kita sama-sama dapat ambil yang baik sebagai tauladan dan yang tak baik itu jadikan sempadan.

akhir kalam, aku nak minta maaf kepada semua pihak yang mungkin secara langsung atau tidak langsung berasa hati dengan penulisan aku ini.

wallahuallam