Wednesday, August 27, 2014

saya seorang graduan IIUM? 1.0

secara relatifnya, pandangan masyarakat mungkin sedikit tinggi bila mana mereka ditanya pandangan mereka berkaitan lepasan IIUM. ini bukan kerana aku nak tekan butang lif tingkat paling atas, tetapi realitinya pandangan masyrakat adalah sebegitu kerana perkataan "Islam" yang ada di dalam IIUM.

justeru, sebagai lepasan IIUM kita haruslah menjadi 'torch bearer of the ummah' dan menjadi model akhlaq Islam yang sebenar kepada masyarakat. tetapi kadang kala, kita sendiri mungkin terlepas pandang perkara ini. tak mustahil , perilaku kita itu mungkin berpotensi menjadi fitnah kepada orang lain termasuk kepada agama kita sendiri.

maka, di kesempatan ini aku nak berkongsi dua situasi untuk iktibar kita bersama. demi Allah, bukan niat aku nak buka aib orang mahupun diri sendiri.satu situasi berkenaan seorang hamba Allah dan satu lagi berkenaan aku sendiri.

situasi 1

aku terima beberapa resume untuk mengisi jawatan kosong. salah satunya adalah bekas pelajar uia. secara profesional, semua permohonan aku terima selagi menepati syarat kelayakan, cuma hati jadi tersentuh apabila melihat gambar profile untuk salah seorang lepasan uia tadi adalah dalam keadaan tidak patuh syariah. dalam bahasa mudah, boleh tahan seksinya. fitrah manusia, hati mula terdetik sesuatu berkaitan hamba Allah tadi "ish, tak kanlah budak UIA macam ini" <bersambung di konklusi>

situasi 2

hari ini aku ada temujanji dengan wakil syarikat X. seorang wanita bukan Islam. bla....bla.... bla.... perbincangan selesai. sebelum dia pulang dia sempat menghulurkan tangan untuk berjabat salam. minda aku dah keluarkan arahan " Ini salah, mana boleh salam dengan bukan muhrim" , tetapi tangan aku tak selari dengan apa yang minda aku arahkan. atau aku sendiri keliru yang mana kata hati dan yang mana pula kata minda?
astagfirullah al azim.

konklusi <iktibar jika ada>

Allah nak tunjukkan kita kebenaran itu sekejap sahaja kalau dia berkehendak. jika pada paginya aku mungkin terfikir sesuatu tentang hamba Allah lepasan uia itu tadi. maka sebelah petangnya, Allah tunjukkan bahawa aku sendiri pun tidaklah melambangkan bekas pelajar universiti Islam yang baik. aku sendiri pun belum cukup kuat asas amalan agama yang kuat bila aku sendiri berada dalam lapangan masyarakat.

mudah sebenarnya, untuk kita beramal dan bercakap tentang Islam bila kita berada di dalam bi'ah<suasana persekitaran> masyrakat yang baik seperti ketika berada di dalam UIA dahulu. tetapi bila berada dalam masyarakat luar yang pelbagai, cabarannya adalah ternyata berbeza. tak mustahil, kita pula yang terikut-ikut arus di luar sana. lalu bagaimana dengan misi "torch bearer of the ummah" itu tadi jika kita pun 'menari' rentak yang sama.

apa pun , apa yang hamba Allah itu lakukan dan apa yang aku lakukan adalah tetap salah. cuma , harapnya Allah memberikan keampunan kepada kami dan memberikan kekuatan kepada kami untuk menjadi hambaNya yang lebih baik.

antara perkara yang 'keji' kita mungkin lakukan ialah apabila kita merasakan kita itu lebih baik daripada orang lain. bak kata salah seorang teman fb aku " holier than thou ini ialah salah satu najis berat dalam kehidupan beragama".

wallahuallam.

PENAFIAN: aku tak bermaksud untuk kata hanya UIA sahaja yang baik. Universiti lain pun baik juga. harap tidak ada yang mungkin salah faham.

Friday, August 22, 2014

hari jadi mama

alhamdulillah.

hari ini adalah hari ulang tahun kelahiran ibu aku. mama. ulang tahun kelahiran yang ke XX tahun< umur adalah antara rahsia utama wanita >

masih lagi sihat seadanya bersesuaian dengan usianya.cuma ada mempunyai darah tinggi yang masih lagi dikira stabil. stress buat akaun ke atau stress dengan perangai anak-anaknya?. ada empat orang anak dan masing-masing ada kerenah dan perangai yang tersendiri. hanya Allah yang mengerti betapa lelahnya wanita bergelar ibu itu .

setakat hari ini, masih lagi belum mampu memberikan hadiah yang mahal kepada mama. sekadar berkongsi kegembiraan melihat hadiah yang ditinggalkan adik aku sebelum beliau berangkat ke luar negara.

dan aku tahu bukan segala jenis material yang didambakannya. cukuplah andai kiranya dapat melihat anak-anaknya membesar dengan sihat dan menjadi orang yang beriman dan berakhlaq. selebihnya adalah bonus.

setiap yang hidup pasti akan berakhir. akan tetapi sejujurnya, aku masih belum bersedia untuk kehilangan beliau. aku percaya, tiada siapa yang benar-benar bersedia untuk itu. cumanya, aku berharap, agar aku masih punya banyak lagi waktu untuk berbakti kepada kedua orang tua ku. menebus kembali apa yang telah disia-siakan di usia remaja.

hmm... zaman itu, semuanya nak memberontak. semuanya aku sahaja yang betul, mereka semuanya salah. bukan nak buka pekung diri sendiri, cuma sekadar untuk iktibar bersama. punyalah keras kepala aku ni, pernah sekali hampir sebulan tak bertegur sapa. semuanya hanya kerana perkara yang remeh sahaja. Astaghfirullah hal 'azim. masih segar dalam ingatan aku waktu itu, ayat mak aku " kau lah anak mama yang paling dengar kata , tetapi kau jugalah yang paling keras hati". ayat yang aku tidak boleh lupa sebab memang sangat tepat. jarang ada selisih faham, tetapi bila sesekali tu jadi meleret-leret. ego sebagai seorang anak.

alhamdulillah, bila usia aku sendiri semakin meningkat. aku mula memahami segala amarah,larangan dan nasihat yang pernah mereka lontarkan dulu. baru sekarang semuanya menerjah logik akal aku. semuanya yang mereka lakukan adalah kerana mereka sayangkan aku. nak lihat aku jadi manusia. anak-anak adalah amanah dari Allah dan mereka akan ditanya diakhirat kelak bagaimana mereka membesarkannya.

semoga jika aku diberi amanah oleh Allah untuk mempunyai anak sendiri, aku harap aku juga dapat membesarkan mereka dengan baik. sihat, berilmu, beriman dan beramal serta ihsan dalam kehidupan seharian.insyaAllah. ameen.

p/s: siapa yang rasa nak jadi calon menantu mak aku sila doakan juga agar beliau dikurniakan kesihatan yang baik dan umur yang berkat.

Wednesday, August 20, 2014

legenda budak setan: kasyah

dalam perjalanan pulang daripada tempat kerja terserempak dengan poster filem "lagenda budak setan: Kashah" sebuah adaptasi novel tulisan ahadiah akashah.

sudah membaca karya-karya beliau sejak dari awal remaja lagi dan karya yang paling terkesan ke hati dan hidup aku secara tidak langsung ialah dari trilogi 'lagenda budak setan' bemula dengan legenda budak setan, katerina dan yang terakhir kashah.

sejujurnya aku sangat memilih dalam bahan bacaan novel berunsur jiwa-jiwa sebab kebanyakkannya menggunakan ayat-ayat yang terlalu 'meleleh' dan hampir mustahil kita sebagai orang biasa menggunakan ayat-ayat tersebut dalam perbualan seharian. rasa macam tak logik.

namun tidak dengan penulisan dari ahadiat akashah. secara peribadi , penulisannya membuat aku rasa dekat dengan karekter-karekter di dalam setiap novelnya.

mungkin disebakan oleh penulisnya yang menulis dari sudut pandang seorang lelaki. rasa lebih dekat dengan jiwa. sebab selain beliau hampir semua novel yang aku minati adalah hasil karya penulis lelaki terutamanya hasil tulisan A. samad said. mula jatuh hati dengan 'Salina' sejak aku berusia 11 tahun lagi.

yup, aku memang sangat suka membaca dan alhamdulillah sudah boleh membaca dengan baik sejak dari tadika lagi. ketika di bangku sekolah , novel yang diminati adalah yang datang dari genre seram,mistik dan penyiasatan terutamanya koleksi siri bercakap dengan jin: tamar jalis, siri bercakap dengan setan: tok awang ngah dan juga siri tiga penyiasat : jalil, gopal dan ah meng. fuhh! ini semua novel legenda 

bila masuk awal remaja, minat beralih pula kepada karya-karya dari barat tapi masih dari genre yang seram dan mistik juga.tapi yang ni banyak yang bahaya sikit , banyak unsur pagan dan bercanggah dengan akidah.

okay, dipendekkan cerita, siapa nak teman aku menonton cerita ini di pawagam nanti?  sudah lama tidak menonton wayang tambahan pula filem melayu. kebiasaannya aku lebih gemar menonton seorang diri kecuali ada beberapa teman yang dah biasa menonton dan 'membaca' filem dengan aku.lepas habis wayang, duduk minum sambil berdiskusi membahaskan filem yang baru ditonton. fuh! seronok. cuba ulas segala mesej yang tersurat dan tersirat termasuk juga bahasa tubuh barisan pelakon.

kisah dari sebuah filem...

sudah agak lama tidak berkesempatan menonton filem apatah lagi menonton di panggung.

baru-baru ini berksempatan menonton sebuah filem dari barat yang diadaptasi dari sebuah novel berdasarkan kisah benar. sebuah filem bergenre 'gelap'. 

mengisahkan kehidupan charlie seorang remaja lelaki anti-sosial yang secara kebetulan menjadi sahabat baik kepada dua orang adik-beradik tiri.samanta and patrick.

persahabatan yang menjadi semakin erat kerana 'little secret' dan juga minat kepada selera muzik yang sama. secara ringkas, ianya seputar isu-isu kehidupan seharian dan permasalahan anak muda. ia juga menyentuh kesan trauma kepada kanak-kanak yang memberi kesan kepada kehidupan mereka apabila dewasa kelak.

isu yang dibawakan mungkin seperti isu yang biasa tetapi cara pengkisahannya digarap adalah sangat baik. begitu juga dengan skrip dan dialog yang digunakan. kelihatan bersahaja walau genre filem ini agak berat sebenarnya. sebuah filem yang mampu buat aku tersenyum dan berkerut dahi dalam masa yang sama.

huhuhu aku bukan pengulas filem yang baik tetapi izinkan aku berkongsi sedikit quote dari filem ini.

-----------------
Samantha: You can't just sit there and put everybody's lives ahead of yours and think that counts as love.
---------------------
Charlie: My doctor said we can't choose where we come from but we can choose where we go from there. I know it's not all the answers, but it was enough to start putting these pieces together.
----------------
Charlie: I know who you are, Sam. I know I'm quiet... and, and I know I should speak more. But if you knew the things that were in my head most of the time, you'd know what it really meant. How, how much we're alike, and how we've been through the same things... and you're not small. You're beautiful.
--------------------
Charlie: Mr. Anderson? Can I ask you something?
Bill: Yeah.
Charlie: Why do nice people choose the wrong people to date?
Bill: Are we talking about anyone specific?
[Charlie nods]
Bill: Well, we accept the love we think we deserve.
Charlie: Can we make them know that they deserve more?
Bill: We can try.
-----------------

justeru apa tajuk filem ini?....... ada kaitan dengan bunga  . tak perlu tahu tajuknya pun tidak mengapa. aku bukan nak ajak orang tonton filem ini. cuma sekadar ingin berkonsi beberapa perkara tentang filem ini atas sebab-sebab tertentu.

asyraf.ashraf.....ashyraf

huhuhu fakta berkenaan nama aku 
[Perubahan 'Ashraf/Asyraf' kepada 'Acap di Pantai Barat]
Oleh: Amir Wijaya

SOALAN: Amir nak tny. Kalau kata nama 'Ashraf/Asyraf' di Pantai Barat dipanggil 'Acap'. Boleh gitau camana boleh berlaku mcm tu?

JAWAPAN: "Ashraf" atau "Asyraf" ialah nama daripada bahasa Arab. “Acapialah bentuk yang sudahdimelayukan”.

Dalam inventori fonem bahasa Melayu yang asli, memang TIDAK ada bunyi geseran lelangit keras-gusi tak bersuara (voiceless palato-alveolar fricative) yang dilambangkan dengan huruf “sh” atau “sy” itu.

Dalam pertuturan Melayu tulen, bunyi itu hanya ada dalam bentuk seruan (exclamation) untuk menghalau binatang seperti ayam atau kucing, iaitu “syuh!”, dan beberapa contoh lain yang terhad; ia tidak bertaraf fonem.

Begitu juga halnya dengan bunyi geseran bibir-gigi tak bersuara (voiceless labiodental fricative) yang dilambangkan dengan huruf “f”.

Maka, dalam bentuk “Acap”, masing-masing bunyi yang dinyatakan di atas sudah digantikan dengan bunyi lain yang sebenarnya sangat hampir, dan memang wujud dalam inventori fonem bahasa Melayu:

1. “sh” (geseran lelangit keras-gusi tak bersuara) > “c” (letusan lelangit keras tak bersuara)

2. “f” (geseran bibir-gigi tak bersuara) > “p” (letupan dua bibir tak bersuara)

(> = berubah menjadi)

Bunyi “sh” dan “c” dan bunyi “f” dan “p” adalah bunyi yang hampir dari segi daerah penghasilan. “sh” dan “c” kedua-duanya melibatkan lelangit keras, manakala “f’ dan “p” melibatkan bibir (malah kedua-duanya bunyi obstruen; rongga mulut dibuka sempit). Semua bunyi itu juga tidak bersuara, iaitu tidak melibatkan penggetaran pita suara.

Perubahan “f” kepada “p” dalam bahasa Melayu kolokial memang satu kelaziman yang tidak asing lagi dalam semua dialek (“faham” > “paham”, “fasal” > “pasal”, dll).

Bunyi /r/ digugurkan, maka yang terbentuk bukanlah *Acrap – ini janggal dalam fonotaktik Melayu.

Dalam dialek Melayu di Pantai Timur, sebagai contohnya dialek Kelantan, bunyi “p” pada akhir kata bahasa Melayu standard itu sejajar dengan bunyi hentian glotis: bahasa Melayu standard “sedap”, dialek Melayu Kelantan “sedak”.

Berpandukan rumus kesejajaran ini, maka perubahan yang berlaku ialah Ashraf > Acap > *Acak. ? Sounds strange, to me. Orang Pantai Timur tak panggil kau "Acap" langsungkah? Beta mohon ampun kalau panjang sangat

kecil dan besar penentu kualiti?

terima kasih kepada sahabat yang mengingatkan aku bahawa... 

"bekerja di syarikat kecil bukan bermakna kau tak bagus, bekerja di syarikat besar pun tak semestinya kau hebat"

adaptasi dari ayat asal dia "kompeni kecil jangan dipandang enteng. saiz kompeni bukan penentu gaji. pak cik jual keropok lekor lagi kaya dari engineer."

kita ini kadang-kadang kompleks inferioriti tak bertempat. termasuk juga aku sendiri. tak perlu nak rendah diri melampau-lampau sangat. adil itu ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya. justeru itu, letaklah keyakinan kita pada tahap yang sewajarnya. jangan hanya asyik mendongak ke langit melihat kejayaan orang lain.

yakinkan diri bahawa kita juga mampu duduk sama tinggi dan berdiri sama rendah. macam terbalik pepatah aku, tapi aku cuba yakin ianya tepat  .

mungkin kerana dikelilingi teman-teman yang kebanyakkanya mempunyai pekerjaan yang hebat-hebat bersama pendapatan tak kurang kacaknya, justeru mungkin sedikit sebanyak rasa kerdil itu timbul bila bersama mereka. sementelahan, mereka sudah jauh berlari sedang aku baru sahaja memulakan langkah.

rezeki itu Allah dah tentukan. siapa berusaha insyaAllah dia dapat. istiqamah dan disiplin. ambil iktibar dari kisah dongeng kura-kura dan arnab. hari ini kita mungkin berada di posisi kura-kura, tetapi tak mustahil bila diuji dengan segala nikmat dan kelebihan, kita mungkin bertukar peranan menjadi sang arnab. leka diri, ambil mudah, sombong, suka bertangguh ..... dan senarai itu mungkin bertambah lagi.

at early age, works for experience. the handsome paycheck will come later on.

hahaha masalahnya aku dah tak berapa nak muda sangat  . CEO tempat aku bekerja pun hanya 3 tahun lebih tua daripada aku. hebat orangnya. bukan calang-calang pencapaian dia dalam seperti usia itu.

Sunday, August 3, 2014

kerjaya baru. pengalaman. jalan hidup.

insyaAllah esok bakal memulakan tugas di tempat baru. pelbagai rasa bergaul sebati. sebagai seorang extrovert, mungkin agak sukar bagi aku untuk menghadapi suasana baru. hehehe tapi kita haruslah adaptasi dengan segala perkara baru dalam hidup.

jika tidak hidup dan pandangan kita akan menjadi jumud. hanya mampu melihat sekitar radius yang kecil sahaja. natijahnya, pemikiran kita hanya berlegar seputar idea-idea yang sama. membuatkan kita tidak terbuka kepada idea-idea dari orang lain.

bertebaranlah di muka bumi ini untuk mencari ilmu baru. tidak semestinya bila sudah memegang skrol di tangan itu menandakan tamat sudah misi pencarian ilmu dan fokus hanya bertukar kepada material semata. jadikanlah juga kerjaya kita sebagai medan untuk mencari ilmu baru di samping ianya sebagai ibadah. insyaAllah, berkat kehidupan dan kerjaya kita walau mungkin tidak semewah kehidupan orang lain.

minta jasa baik untuk doakan saya selamat maju jaya di tempat baru.

keputusan temuduga di sebuah 'GLC' hanya akan diketahui selepas syawal. jujur tak meletakkan harapan yang tinggi untuk itu kerana dari 10 calon temuduga tempoh hari, 5 daripadanya adalah teman-teman aku sendiri. kebetulan mungkin . kebetulan yang membuatkan aku tergelak besar pada hari tersebut. tapi semua mereka hebat-hebat belaka dengan pengalaman yang bukan kecil-kecil anak. selamat maju jaya untuk kalian semua.

job hopping. pada mulanya aku kurang bersetuju dengan perkara ini, tetapi setelah memasuki alam kerjaya , itu juga yang aku buat. secara teorinya, ingin mengambil pengalaman kerja selama 1 hingga 3 tahun sebelum bertukar kerjaya di tempat lain tetapi sudahnya dalam masa bulan mac hingga ogos tahun ini sudah masuk 3 tempat kerja yang berlainan.

bermula sebagai pekerja kontrak di sebuah kementerian,bertukar pula kepada eksekutif pemasaran bagi sebuah kolej swasta dan yang akan melapor diri esok pagi ialah eksekutif hr di sebuah syarikat it.

jika ikutkan gaji tak ada lah tinggi mana tapi insyaAllah mencukupi. cari pengalaman dulu, insyaAllah pendapatan yang lebih baik itu akan datang seiring dengan pengalaman yang telah kita kumpul. persimpangan hidup kita sebagai manusia semuanya berlainan, ada yang dapat simpang jalan pintas dan ada pula yang penuh ranjau berduri. namun masing-masing ada dugaannya yang tersendiri.

jalan mudah dan pintas , kebiasaannya membuatkan kita mudah lupa diri dan lalai menikmati nikmat keindahan pemandangan di kiri kanan jalan. sementara ujian bagi jalan penuh ranjau berduri pula ialah kita berkemungkinan untuk putus asa dengan rahmat Allah dan sentiasa merungut dan mempersoalkan takdir dan rezeki. kesusahan itu membuat kita lupa akan ganjaran yang bakal diperolehi di akhir destinasi nanti.

tak kiralah jalan persimpangan mana yang kita ambil dan ikut, insyaAllah pastikan kita menuju ke destinasi yang diredhai Allah. aku percaya jalan ke syurga itu bukan hanya satu, jadi kita tidak boleh terlalu mudah menyangka yang bukan-bukan mengenai jalan orang lain tanpa nas dan bukti yang kukuh.

p/s: seorang sahabat berkata, " kau tulis panjang-panjang ni kau ingat ada orang nak baca ke? hahaha baik kau 'up kan' gambar 'selfie' satu, aku rasa lagi banyak orang like" hahaha, aku menulis merepek panjang-panjang ni bukannya aku harapkan orang 'like', itu bukan tujuannya. sekadar menulis untuk kepuasan diri dan jika ada perkara yang baik ambillah sebagai teladan dan yang buruk itu ambil sebagai sempadan. sementelahan pula, aku bukannya fotogenik sangat nak upload gambar banyak-banyak. nanti muntah hijau pula orang menengoknya nanti.

p/s/s: aku selalu berharap andai kata satu masa nanti anak-anak aku mencari profile aku di fb, mereka tidak malu untuk membaca perkara yang aku tulis. setidak-tidaknya, aku menulis sebaik mungkin dengan ejaan yang tepat. susahlahkan nak jumpa aku mengeja seperti " aque, ittew, jew, awaks" dan yang sewaktu dengannya