Sunday, October 26, 2014

aku pergi bukan kerana kecewa. tapi yang pasti aku kembali kerana gembira.

Bagaimana kan ku mula
Dan apakah kata-kata
Yang indah untuk diabadikan
Tiap wajah berkisah
Tiap madah bererti
Manakah ilhamku?
-Suatu masa, M. Nasir.

Alhamdulillah masih lagi dikurniakan peluang untuk bernafas, kesihatan yang baik dan yang paling penting ialah peluang untuk memperbaiki diri. Agak lama juga sudah tidak membuka fb. Hmm.... tak adalah lama sangat baru hampir dua minggu sahaja.

Hajat asal ingin menyahaktif sementara akaun fb dalam masa dua bulan tetapi sebuah mesej whatsapp yang diterima aku semalam membuat aku sedar bahawa aku sebenarnya mempunyai ada beberapa sahabat yang berkualiti. Satu perkara yang wajib disyukuri. Dan itu membuatkan juga aku terbuka hati untuk mengaktifkan fb semula.

Sebuah mesej whatsapp yang ringkas sahaja bunyinya tetapi sangat bermakna buat aku “ Dp kau wat aku hepi” .ringkas tetapi ada makna yang tersendiri. Ini kerana dalam ramai-ramai teman kami, aku dan dia agak ‘lambat’ untuk bergraduasi atas beberapa perkara sementelahan ramai teman-teman kami yang lainnya sudah menjadi doktor dan jurutera yang berjaya .

Ada beberapa rakan bertanya mengapa mengambil keputusan untuk tiba-tiba menyahaktif akaun fb.
Adakah kerana sebab yang sama seperti yang berlaku pada awal tahun dahulu?

<Rujuk pautan> http://kotakkashakay.blogspot.com/2014/02/sebuah-pengakuan-cinta-dari-aku.html

Hahaha tidak...tidak.... bukan sebab yang sama. Kali ini lebih bersifat peribadi antara aku dan ‘aku’.
Hmm... tapi jujurnya ada beberapa perkara yang berlaku sepanjang aku menyahaktif akaun fb.

Antaranya aku dah jumpa sebahagian jawapan yang aku cari berkenaan sosok figura yang aku perkatakan dalam pautan yang ada di atas. Alhamdulillah, rezeki dia lebih dulu tiba dan aku doakan yang terbaik untuk dia. Semoga berbahagia hingga ke syurga.

Hehehe bila difikirkan kembali agak kelakar juga kerana suatu masa dahulu aku pernah beranggapan bahawa aku dan dia ada sesuatu yang istimewa. Sesuatu yang tak bisa dijelaskan dengan ribuan baris kata. Dan juga pernah menukilkan sebuah puisi buat dia suatu ketika dahulu

<rujuk pautan> http://kotakkashakay.blogspot.com/2013/12/akukaumungkinkah-ada-kita.html .

Hahaha aku sebenarnya tak sangka juga sebab artikel tersebut merupakan artikel yang paling banyak dilawati di blog baru aku.

Kecewa.patah hati.

Oh, tidak . Ini adalah berita gembira buat aku. Kalian barangkali akan skeptikal terhadap kenyataan aku tetapi jujur aku gembira. Dan ini bukan pengalaman pertama juga. Lebih tepat yang ketiga dengan skrip yang hampir sama. Rasanya seperti boleh dibikin novel . Apa pun Aku selalu mendokan yang terbaik buat mereka dan aku rasa Allah sudah menjawap doa aku.

Kerjaya.

Alhamdulillah, semakin baik. Sudah disahkan menjadi pekerja tetap walaupun sebenarnya masih berbaki tempoh 3 bulan untuk waktu percubaan. Uhuk...uhuk.... bersama sedikit perubahan di slip gaji . Alhamdulillah.

Aku selalu tekankan bahawa aku bekerja sebagai sebuah ibadah dan peluang untuk belajar ilmu baru. Duit itu insyaAllah akan datang kemudian dengan sendirinya bersama sikap positif itu tadi. Cuba untuk sentiasa jatuh cinta dengan kerjaya kita walaupun kita mungkin tidak mencintai tempat kerja kita.

Jika dahulu aku ditemuduga oleh syarikat kerana ingin mencari pekerjaan, sekarang aku pula yang menemuduga orang lain yang ingin mencari kerja. Dan jujur, bila kau berada di kerusi itu, kau seolah-olah mampu membaca apa yang ada disebalik riak wajah orang yang datang untuk ditemuduga.Syukur kerana berpeluang untuk membantu orang yang benar-benar memerlukan.

Dan syukur juga kerana terpilih untuk menduduki perperiksaan atas talian bagi jawatan pegawai tadbir diplomatik (M41). Huhuhu banyak yang perlu diulangkaji semula. Harapan? Susah nak kata sebab terlalu ramai calon lain yang pastinya jauh lebih hebat. Apa pun, adalah menjadi harapan besar buat mak aku untuk melihat anaknya menjadi pegawai kerajaan. Hahaha antara beberapa sebab yang dia nak aku menjadi pegawai kerajaan ialah sebab aku selalu mengkritik dasar-dasar kerajaan, jadi cubalah perubahan jika ada ‘kuasa’ di tangan. Kritik-kritik sayang .

Rasanya, cukup dululah buat lembaran kali ini. Nanti aku sambung lagi merepek.

Salam maal hijrah. sentiasa berhijrah untuk menjadi hamba-Nya yang lebih baik.

2 Muharam 1436.


apakah hari yang kita lalui semalam masih sama seperti kelmarin?

apa kita masih bertahan untuk melakukan perubahan? atau sudah termungkiri azam pada hari yang sama?

bagaimana dengan hari aku pula? sudah termungkiri atau tidak? hmm....

kaizen. istiqamah.

mungkin susah nak berubah untuk tidak melakukan sesuatu perkara yang sudah sebati bersama raga dan jiwa tetapi yang penting usaha kita untuk lakukan perubahan hatta yang berskala kecil tetapi konsisten.

'cold turkey'

perubahan drastik. tinggal terus. tiada bahasa basi. pastinya lebih baik tetapi mungkin secara relatifnya lebih sukar untuk kita pertahankan perubahan itu. ini kerana pasti ada 'kesan sampingan' <baca:dugaan lebih> selepas kita tinggal sesuatu yang sudah menjadi tabiat.

wallahuallam.

taklimat perperiksaan dan temuduga bagi jawatan ptd m41 2014


(untuk makluman Muhammad Faiz Arif , Ahmad Farid dan mungkin rakan-rakan yang terlepas peluang hadir bagi sesi hari ini 26 oktober 2014)

1. total calon layak menduduki perperiksaan atas talian ialah 77,766 orang.

2. perperiksaan atas talian terbahagi kepada 3 sesi iaitu a) pengetahuan am b) ujian psikometrik c) penyelesaian masalah <lebih kurang matematik moden spm>
 

3. bagi sesi pengetahuan am- 45 minit- dasar-dasar awam, kerja sosial intergrasi sosial, perpaduan negara, soalan umum berkenaan it, pentadbiran negara serta isu-isu semasa.
 

4. bagi sesi penyelesaian masalah- soalan lebih berbentuk seperti subjek matematik moden sewaktu spm dahulu. dinasihatkan membawa bersama kalkulator saintifik bagi memudahkan pengiraan.
 

5.bagi sesi psikometrik-lebih kepada ujian sahsiah diri.
 

6. dinasihatkan untuk bersedia dengan kelengkapan komputer dan capaian internet yang stabil kira-kira satu jam lebih awal dari waktu mula ujian pada jam 8pm.
 

7. anda bebas untuk mendapatkan bantuan sesiapa pun ketika menjawab soalan-soalan yang diajukan.
 

8. sekiranya anda berjaya dengan perperiksaan atas talian itu, dalam masa terdekat anda akan dipanggil untuk menghadiri temuduga bersama spa.
 

9. pada hari anda ditemuduga nanti, anda akan diminta menjawab dua solan berbentuk esei sebelum ditemuduga oleh penemuduga.
 

10. satu soalan esei berbahasa melayu dan satu soalan esei berbahasa inggeris.
 

11. soalan esei akan berkisar mengenai isu semasa.
 

12. bagi sesi temuduga, antara soalan yang mungkin akan ditanya ialah bidang kuasa bagi jawatan ptd, dasar-dasar negara,latar belakang dan peranan spa, pengalaman kerja sebelumnya, penyelesaian masalah melalui situasi dan lain-lain lagi.
 

13- antara ciri-ciri calon yang dicari penemuduga ialah:-
CTI-Cepat,Tepat, intergriti
PCI-productivity, creativity ,inovative
LOF-loyal, open minded, facilitate
 

14. sila pastikan anda berpakaian kemas dan membawa semua dokumen yang diperlukan serta resume terkini yang telah dipastikan tiada kesalahan ejaan dan tatabahasa.

PENAFIAN: ini hanyalah sekadar untuk rujukan sahaja, tidak akan bertanggungjawab jika berlaku perubahan atau kesalahan maklumat. almaklum, aku bukan fokus sangat

p/s: tiada sebarang buku rujukan yang yang ditetapkan oleh pihak SPA, tetapi anda mungkin boleh cuba untuk membaca buku bertajuk "malaysia kita" dan buku panduan lain yang terdapat di internet
Semoga dapat buat yang terbaik bagi semua calon yang terlibat. dan yang paling penting betulkan niat kita kerana Allah . insyaAllah dia akan permudahkan perjalanan kita.

Monday, October 13, 2014

disebalik kejayaan ini

alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi.
hari sudah selesai urusan pengambilan jubah untuk majlis graduasi yang bakal berlangsung pada 13 Oktober 2014 ini nanti.
bermula di CFS Pj pada tahun 2006 dalam jurusan asasi kejuruteraan. kemudian bersambung di UIA Gombak pada tahun 2008 dalam jurusan sarjana muda kejuruteraan. namun Allah lebih mengetahui, jodoh tidak kekal panjang. Bertukar jurusan ke sarjana muda pentadbiran perniagaan.
dan Alhamdulillah terlalu banyak hikmah yang ada disebalik kejadian ini. baik yang aku sudah berjaya cakna dan juga masih belum aku sedar.
sejujurnya aku tak ada apa yang aku teruja dengan majlis graduasi ini melainkan 2 perkara. perkara pertama, ini adalah salah satu hadiah yang mampu aku berikan pada kedua ayah bonda atas segala penat lelah mereka membesarkan aku serta kepercayaan mereka yang tidak berbelah bahagi kepada aku di saat orang lain agak skeptikal.
sementara perkara kedua ialah melihat wajah teman-teman seperjuangan yang tersenyum riang. dan tenaga positif dari mereka meresap terus ke segenap ruang di jiwa aku. InsyaAllah mereka semua adalah insan-insan berjiwa besar yang akan menjadi agen perubahan kepada masyarakat. InsyaAllah kita sama-sama membawa obor perjuangan ummah. jika tak mampu nak buat perubahan yang besar, kita buat dahulu perubahan-perubahan yang kecil tetapi istiqamah. seperti motto yang digunapakai kelab Steadfast IIUM , "Sucikan dirimu, dan serulah yang lain" . motto yang diinspirasikan dari kata-kata hassan al-banna.
sejujurnya, dalam tempoh seminggu dua ini aku berada dalam keadaan motivasi yang agak merundum. entah sebab apa aku sendiri kurang pasti. tetapi seolah-olah jasadku diselubungi kepulan awan negatif. semua benda aku hendak merungut dan komplen. semua perkara yang dilakukan semuanya serba tidak menjadi.
tetapi, apabila menjejakkan kaki di uia dan bertemu pula teman-teman sepejuangan. alhamdulillah, pelangi positif mula menggariskan senyumnya. aura positif ada di mana-mana. apa yang aku nak tekankan ialah kekuatan dan kelebihan uia bukanlah pada bekas tugu dan air pancut yang ada di bulatan berhampiran pintu masuk utama, tetapi tunjang kekuatannya adalah pada orang-orang yang menghidupkan uia itu sendiri. tak kiralah jika ada projek nak tukar air pancut dan tugu setiap tahun sekalipun, selagi masih ada orang-orang yang menghidupkan uia, maka uia akan terus hebat dan menyumbang kepada pembangunan ummah. insyaAllah.
buat teman-teman yang bukan dari uia, aku harap anda tidak berkecil hati. anda juga adalah sebahagian daripada penyumbang kepada pembangunan ummah. ini semua tugas kita bersama, insyaAllah.
p/s: speacial thanks to steadfast IIUM, CENSERVE IIUM , BBA Council IIUM and KENMS. I did learnt a alot from these societies.

denyut nadi rakyat. berdenyut-denyut.


aku bukan ahli dalam bidang ekonomi ataupun politik.
aku rasa majoriti rakyat juga begitu.
jadi , kami kurang fasih dan kurang cakna rational disebalik rationalisasi ini. yang kami tahu, jumlah perbelanjaan kami akan semakin meningkat dan simpanan akan semakin berkurang.
lalu, akan semakin ramai melipatgandakan usaha membanting tulang mencari rezeki lebih bagi menampung kos sara hidup mahupun status sosial masing-masing.
keseimbangan hidup yang sihat dan masa berkualiti bersama keluarga akan semakin bekurang. yang paling kuat terjejas ialah masyrakat bandar yang berada di dalam kategori 'urban poor'. tersepit di celah-celah kota metropolitan yang sesak dan menyesakkan.
aku pernah berkesempatan berkenalan dengan beberapa orang dari golongan elitis. jujur aku ada sedikit cemburu dengan mereka. bukan cemburu atas kekayaan mereka tetapi cemburu kerana mereka mempunyai 'akses' membuat 'duit'.
contoh ringkas, jika mereka membuat pinjaman di institusi kewangan, peluang permohonan mereka untuk diluluskan adalah sangat tinggi di samping kadar bunga yang rendah. kalau orang biasa macam aku ini, puaslah nak naik turun keluar masuk bank untuk permohonan pinjaman terutamanya pinjaman perniagaan. katanya , berisiko tinggi sebab itu bunganya juga tinggi.
dan ada banyak lagi cara mereka mampu 'membuat' duit.
tapi bukan semua mereka adalah tidak baik. ada yang baik.
teringat salah satu pesanan yang ditinggalkan mereka " Its not about how much money you have but how exactly you manage them. make them work for you"
hahaha cakap macam tu aku pun boleh tapi tak nak pula dia berkongsi caranya.
dan untuk perbentangan budget 2015 ini, aku berharap sangat agar kerajaan dapat membentangkan cara mereka ingin mengurangkan bebanan hutang negara serta isi rumah. begitu juga dengan masalah hartanah yang semakin meruncing. kita bukan tak cukup tanah tetapi 'permainan' yang berlaku di dalam sektor hartanah ini seolah-olah tidak dapat dikawal oleh kerajaan.
aku juga berharap agar kerajaan mengkaji semula BR1M ini. apakah ianya berjaya mencapai objektif yang sepatutnya? pengurangan subsidi ini mungkin nampak sedikit jumlahnya<mungkin> tetapi efek berantai yang akan terhasil mampu mencapai sesuatu yang di luar jangka.
dan aku bercakap ini atas dasar rakyat marginal yang non partisan. maaf kata, secara peribadi aku tidak dapat rasakan parti-parti politik yang ada pada hari ini benar-benar mampu menyelesaiakan isu ini. sekadar jadi juara melaungkan slogan cogan kata yang bombastik nan futuristik.
tetapi ini tidak mustahil dilakukan jika pihak parti memerintah dan parti pembangkang dapat duduk bersama mengetepikan ideologi parti dan kepentingan peribadi dan sama-sama berusaha untuk malaysia yang lebih cerah. benar-benar bekerja untuk rakyat dan melaksanakan segala mandat.
dan, seperti hukum alam, bercakap memang mudah daripada melaksanakan. jika kita yang memegang kuasa politik sekarang ini, apakah kita benar-benar yakin bahawa kita mampu buat sesuatu yang lebih baik? atau mungkinkah kita akan lebih memburukkan lagi keadaan.
wallahuallam.

konvokesyen untuk ibu

kalau tiada orang nak hadiahkan bunga ros sempena hari konvokesyen nanti, apa ada hal , beli sahaja untuk diri sendiri hahaha.
apa pun bunga tu bukan keperluan pun. tambahan pula , aku bukan jenis orang yang suka bergambar. ambil skrol terus balik rumah hahaha.
tapi hati ibu bapa kenalah jaga. mereka mestilah nak mengabadikan kenangan itu. kedua-dua mereka dahulu sebenarnya berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti tetapi kedua-duanya mempunyai masalah kewangan ketika zaman itu. hanya mampu sambung ke tingkatan 6 sahaja. selepas itu, terus bekerja untuk membantu keluarga.
sebab itu mereka sangat tekankan kepentingan pelajaran kepada setiap anak-anak mereka. itu sahaja yang terbaik mereka mampu berikan. jika dahulu mereka terlepas peluang ke menara gading, setidak-tidaknya mereka dapat hadir ke setiap konvokesyen anak-anak mereka.
jika diikutkan mereka bukanlah berduit sangat ketika aku masih di bangku sekolah dahulu tetapi mereka tidak pernah berkira jika ianya tentang persekolahan dan pembelajaran. pakaian sekolah yang paling berkualiti, buku rujukan yang terbaik, pusat tuisyen terkenal dan banyak lagi. biar berhabis. biar ikat perut asalkan anak-anak dapat belajar dengan terbaik.
jujur aku sebak semasa menulis status ini. sebak kerana aku tidak berapa nak cemerlang jika hendak dibandingkan dengan adik kedua dan adik bongsu aku. macam-macam kegagalan aku rempuh. aku tahu walau mereka sentiasa bagi dorongan dari belakang, tetapi tipulah kalau mereka tak kecewa dengan aku.
sebab itu aku selalu berdoa agar Allah pilih aku di antara kami adik beradik untuk menjaga kedua ibu bapa aku bila mereka sudah uzur nanti. dan ini jugalah antara sebab buat aku memilih untuk lebih selesa hidup membujang. bukan senang nak jumpa pasangan yang sanggup kompromi. entahlah, aku ni banyak sangat menonton drama melayu terutamanya kisah anak atau menantu derhaka ketika sambutan hari ibu barangkali.
hehehe tapi kalau ada orang nak hadiahkan pun mesti mak aku seorang sahaja . awal-awal lagi dia akan ke pasar chow kit untuk beli bunga yang segar dan seterusnya dia sendiri yang gubah. jimat kos. kalau beli di pesta konvo itu mesti terlalu mahal harganya.
p/s: bunga ros putih signifikan kepada "I'm thinking of you" selain dari sering dikaitkan dengan perkahwinan.

panggilan haji

3 atau 4 tahun dahulu jika kau tanyakan aku soalan " bila hendak pergi menunaikan haji?" . jawapan aku pasti kebiasaannya bermula dengan "err... entah"
jujur jika ditanya 3 atau 4 tahun dahulu aku susah hendak memberi jawapan yang konkrit kerana aku takut. ya, aku takut kerana sering dimomokkan dengan kisah-kisah mereka yang diberi 'balasan' dunia atas dosa-dosa yang mereka lakukan di masa silam mereka.
pengaruh drama televisyen. pengaruh majalah 'popular' masyrakat melayu. pengaruh masyarakat sekitar.
hmm....tapi tak betul juga jika hanya tuding jari kepada mereka. aku sendiri yang memilih untuk terlalu memikirkan hal-hal sebegitu.
dan ya, memang aku takut dengan dosa-dosa silam aku.terlalu banyak dan mungkin diluar sangkaan khayalak. aku di depan manusia tidak sama dengan aku di depan Tuhan. banyak sangat aku hipokrit dengan diri sendiri.
dan di sinilah silapnya aku dahulu. Allah, kalau dia berkehendakkan untuk membalas dosa hambanya di dunia lagi, tak perlu tunggu hambaNya untuk sampai ke Mekah. di sini, di jalan Ampang ni , di depan komputer riba ini pun aku boleh dapat tunai balasan semua dosa-dosa aku.
apakah aku menyangka bahawa dosa-dosa aku itu lebih besar dari rahmat Allah? sudah tentu tidak bukan.
selagi nyawa dikandung badan, kita masih punya waktu untuk baiki diri. persoalann yang harus kita untaikan ialah apakah kita 'tahu,mampu dan mahu' untuk berubah? dan ketiga-tiga unsur 'tahu,mampu dan mahu" itu harus seiring dengan perubahan yang kita lakukan.
korban.
apa yang kita faham tentang hari raya korban?
apa yang kita faham dari kisah nabi ibrahim,nabi ismail dan siti hajar?
apa yang kita mampu ambil iktibar dan aplikasi pengajaran dari kisah mereka?
apa yang kita sanggup korbankan?
adakah kita takut terkorban?
jawapan itu ada dalam lipatan hati.
mungkin tak jumpa sekarang jawapannya.
insyaAllah esok lusa barangkali kita akan menemukannya.
---------
dan jika sekarang kalau di tanya bilakah ingin menunaikan ibadah haji atau umrah, dengan yakin jawapan aku ialah "InsyaAllah...."
usah takut dengan dosa silam. tetapi takutlah jika kita tidak sempat untuk menjadi hambaNya yang lebih baik. Bagaimana kita mengakhiri riwayat hidup kita itu sangat penting.
InsyaAllah, kita sama-sama usaha untuk jadi yang lebih baik. tidak hanya jadi juara menaip di laman sosial tetapi yang lebih penting kita benar-benar berusaha untuk menjadi muslim yang lebih baik.
jika kita pada usia 18 tahun berperangai sekian....sekian.... tak kanlan bila dah berusia 26 tahun kita masih lagi melakukan dosa yang sama.
ya , benda bila dah jadi habit ini memang susah nak ubah. aku tak kata senang, tetapi insyaAllah kita mampu istiqamah penambahbaikkan sedikit demi sedikit.konsep 'kaizen' kata orang jepun.
Selamat hari raya Aidil Adha dari saya dan keluarga.
maaf zahir batin.
P/s: doakan saya dipermudahkan untuk mendapat undangan menjadi tetamu Allah. Menunaikan ibadah haji itu cumalah peringakat permulaan, cabaran sebenar ialah bagaimanakah momentum kita sebagai muslim pasca menunaikan ibadah haji? adakah kita mampu mengekalkan momentum ibadah dan akhlaq kita semasa berada di sana atau mungkinkah kita akan kembali dengan habit-habit buruk kita semula?
wallahuallam.

bermimpi dan keroncong untuk ana

kalau nak bermimpi pun tidak berani bagaimana hendak merubah diri.
seminggu dua ini sering berfikir tentang masa depan, tentang pilihan dan juga potensi diri.
apa benar jalan yang sedang dipilih? adakah ianya satu pilihan yang terlalu selamat? dan jika ini bukan jalan yang tepat, apakah yang ada di sebalik jalan yang lain itu? dan di mana pula letaknya jalan itu? mampu ke kapasiti diri tika ini menerjang segala apa yang mungkin menghalang? perlukah unsur katalis digunakan untuk memacu tujahan di jalan baru?
banyak persoalan.
jika dikurnia umur panjang, di mana aku 5 dan 10 tahun akan datang?
jadi sesuatu yang aku sendiri tidak berani untuk bermimpi sekarang.
atau....
masih biasa-biasa. sama-sama berkejaran di pelumbaan tikus.
sekadar berjuang untuk survival tembolok.
p/s: tiada kaitan dengan penyataan di atas, tetapi seminggu dua ini sering juga berteman dengan lagu 'keroncong untuk ana' dendangan m.nasir. entah apa yang buat lagu itu dekat di hati kala ini, cuma yang pasti karya-karya m.nasir sememangnya 'berjiwa'
p/s/s: melodramatik?

iium convocation

alhamduillah, berkesempatan untuk hadir ke majlis konvokesyen teman-teman pada hari ini. maaf tak sempat nak berbual panjang bersama kalian.
dan insyaAllah, pada keesokkan hari adalah majlis graduasi aku pula. agak kecewa sebab penerbangan adik aku dari brunei ditukarkan dari jam 9 ke jam 3. maka dia tak akan sempat untuk hadir pada esok hari.
untuk rakan-rakan pada hari esok aku nak minta maaf awal-awal sebab akutak boleh lama berada di uia selepas majlis konvo tamat atas sebab-sebab peribadi. maka mungkin kita tidak sempat untuk bergambar sama sebagai kenangan.
satu lagi perkara penting yang nak aku sampaikan ialah aku berkemungkinan besar untuk menyahaktifkan akaun fb buat sementara waktu selapas selesai dengan majlis konvo . mungkin selepas dua tiga hari tamat konvo. dan tidak pasti sampai bila aku akan mengaktifkannya semula.
ini atas sebab-sebab peribadi yang tak dapat dijelaskan. sebab aku sendiri pun kurang jelas. 'drama king' sangat kan? maaf. tapi aku rasa perlu masa untuk diri sendiri selesaikan beberapa isu. banyak benda aku nak muhasabah balik. banyak kita cakap dan tulis, banyaklah juga silapnya.
janji. aku terkilan juga sebab aku tak kotakan sebuah janji pada hari ini.
walaupun pada dasarnya perjanjian itu dibuat dalam keadaan berseloroh di antara keduanya. s
maaf, jika pernah ada terkasar bahas dengan kalian semua. ada rezeki kita berjumpa lagi.maaf juga sebab tak jadi sahabat yang baik.
alah, bukan lama mana pun. habis kuat dua bulan macam awal tahun dulu kan