Wednesday, April 30, 2014

manusia dan angin

Sayup-sayup bayu berpuput membawa angin khabar.
Satu perkhabaran yang belum pasti.
fitrah manusia sukakan yang sensasi.
pertemuan mata ke mata juga belum muktamad tarikhnya.
lalu, bagaimana mahu aku mengiakannya.
hitam bukan, putih pun bukan.
masih lagi kelabu yang abstrak.

apa pun terima kasih kerana menerima khabarnya dengan positif serta doanya.

Sunday, April 27, 2014

Sistem pengaturcaraan bukanlah bidang aku

encik Ashyraf, akuilah bahawa anda telah pun tua. tidak payah nak gatal-gatal tangan nak godek sistem operasi komputer. ha kan dah terpadam semua benda.

semalam dah memasang sistem operasi linux dengan baik pun aku masih nak godek-godek lagi. hahaha zaman muda-muda dulu bolehlah, zaman tengah nerd sikit. sekarang bila sudah semakin dewasa kita sudah malas dan jadi takut untuk mencuba sesuatu yang lain. kita hanya mahu kan perkara yang mudah dan tidak terlalu perlu berfikir banyak.

tapi satu perkara yang menarik tentang sistem komputer ialah ianya sentiasa ada cara untuk melakukan pengubahsuaian atau mencari semula fail-fail yang telah hilang. jika difikarkan secara mendalam, falsafah sistem komputer ini boleh juga dikaitkan dengan manusia itu sendiri. ececeh! tak payah nak mengarut buka cerita matrix.

sedang mencuba untuk mendapatkan semula fail yang hilang dan partition yang dikunci. huhuhu sayang sangat dengan semua koleksi lagu, ebook dan gambar <terutamanya gambar bersama 'sahabat'>
 

hahaha tinggi betul keyakinan aku untuk tidak membuat sebarang 'back up' sebelum gatal tangan nak godek-godek.

menikmati hariku di kotak sepi.
puas cuba diperbaiki, kau jauh dah pergi.
terputus sudah segala ruang komunikasi.
antara kita, nyata tiada jalan penyambungnya.

--------------------------------------
total loss: 320gb of information and personal data, including my precious and rare collection of songs, ebooks, documentaries and pictures.

Apakah Budaya 'Prank' Sudah Menjadi Sebahagian Norma Masyarakat?

budaya 'prank' yang semakin menular.

mungkin bagi sesetengah orang, ianya hanyalah gurauan semata-mata. sekadar hiburan untuk diri sendiri mahupun kepada orang lain. boleh juga untuk dijadikan 'tangkal' pelaris kepada slot-slot hiburan radio dan juga televisyen.

sejauh mana gurauan itu hanya sekadar gurauan?
apa mungkin ianya masih berada di dalam batas?
pernah terfikir bagaimana jika apa yang ingin diguraukan itu mampu memberi reaksi di luar jangka?
pernah terfikir tentang sensitiviti?

bukan semua benda boleh bawa bergurau. dan bukan juga hidup ini perlu sentiasa serius hingga tidak boleh langsung bercanda ria.

tidak semestinya jika sesuatu itu diterima secara meluas oleh masyarakat makanya ianya adalah sesuatu yang betul.

industri hiburan mengikut selera penonton atau penonton menghadam sahaja segala apa yang disuap industri hiburan?

bagaimana jika situasi itu diputar? dan kamu pula diperlakukan dengan hal yang sama. Apa kamu masih mampu bergelak ketawa tanpa secebis sedikit pun amarah di hati? oh, untuk menambah asyik, bagaimana jika 'prank' itu dilakukan kepada kedua orang tua kamu? masih boleh tersenyum riang?

P/s: bukan anti-lawak. cuma aku tak rasa mengenakan orang itu sesuatu yang lawak. tambahan pula banyak rancangan/pelawak yang terlalu memaksa diri ingin membuat lelucon yang tidak langsung lucu.

Jangan Ambil Mudah Dengan Perkara Asas

Sedang menonton siaran ulangan 30 minit ustaz don mengenai ulangkaji solat Jama'.

Alhamdulillah, banyak yang aku dapat ingat semula dan perbetulkan beberapa perkara yang aku khilaf sebelum ini disamping memperdalamkan pengetahuan berkisar isu tersebut.

Kadang-kadang kita rasa sesuatu perkara itu terlalu asas Dan kita telah pun mempelajarinya dahulu. Di situlah silapnya kita, kerana sentiasa akan Ada perkara yang kita masih tidak tahu dan ruang untuk melakukan penambahbaikkan.

Jangan ambil mudah perkara perkara yang kita anggap asas. Ini kerana perkara asas itulah yang akan menampung perkara-perkara lain. Jika batu asas kita tidak cukup mapan nescaya akan runtuhlah struktur binaan di atasnya

Anda mungkin akan terkejut dengan siapa anda duduk di dalam sebuah bas awam.


Alhamdulillah, saya baru pulang dari pusat bandar Kuala Lumpur dengan menaiki sebuah bas awam. Seperti sedia maklum, ketika waktu puncak agak sukar untuk mencari tempat duduk di dalam bas. Syukur sekali lagi apabila ada seorang lelaki berusia separuh abad menawarkan tempat duduk di sebelahnya kepada saya.

Dia bekerja sebagai seorang buruh binaan dan berasal dari Surabaya. Sejurus saya melabuhkan punggung ke kerusi, dia langsung memperkenalkan diri dan kami terus berbual hingga saya tiba ke destinasi saya di Jalan Ampang Kiri.
Apa yang mengagumkan saya ialah lelaki tadi mampu berbicara soal makroekonomi, sosio budaya, agama dan beberapa isu semasa dengan begitu baik sekali walaupun dia hanyalah seorang buruh binaan yang kelihatan biasa sahaja di mata kasar.

Ilmu Allah itu luas dan tidak hanya ada di universiti atau di mana-mana pengajian tinggi sahaja. kadang-kadang dari diskusi rawak kita bersama orang-orang yang kita jumpa di jalanan itu lebih bermakna dan 'ilmiah' dari masa satu jam kita di bilik kuliah. ini hanyalah perbandingan secara relatif sahaja dan tidak boleh digunapakai untuk semua situasi.

Perbualan kami juga menyentuh soal perkahwinan, soal rezeki dan pendidikan anak-anak. Alhamdulillah, Allah tak pernah putus-putus menghantar orang-orang untuk menasihati saya tentang persoalan-persoalan ini. InsyaAllah, bila tiba waktunya akan bertemu juga dengan jodohnya.

Pak cik itu juga sempat mengingatkan saya tentang 3 perkara yang akan bermanfaat buat anak adam walaupun setelah meninggal dunia.

1) doa anak yang soleh (sebab itu dia mendoakan saya segera dipertemukan jodoh agar ada zuriat yang akan mendoakan saya kelak)

2) amal jariah (jangan lupa untuk bersedekah terutamanya kepada perkara yang dapat digunakan oleh masyarakat lainnya)

3) ilmu yang bermanfaat (jika ada sebarang ilmu yang baik jangan lupa untuk ajarkan kepada orang lain)

p/s: walaupun hanya bekerja sebagai buruh binaan, tetapi dia mampu menyumbang serba sedikit kepada pembiayaan sebuah pondok agama di kampungnya. insyaAllah, semoga kita juga mampu berbuat amal jariah seperti beliau. persoalannya bukan berapa banyak, tetapi usaha kita untuk istiqamah untuk melakukannya.

wallahuallam.

P/S/S: ingin juga meminta jasa baik sahabat-sahabat yang membaca status saya ini untuk sama-sama mendoakan kesejahteraan sahabat-sahabat saya dari UIAM yang baru sahaja terlibat dengan kemalangan bas sebentar tadi.

Thursday, April 17, 2014

inspirasi dan motivasi untuk merepek

dewasa ini, aku sudah semakin kurang mood untuk 'merepek' di alam maya. sudah kurang inspirasi dan motivasi barangkali.

bagun pagi. kerja.pulang. istirehat. ulang semula. rutin.

atau mungkin rentetan dari semakin kurang meluangkan masa untuk membaca dan bersiar-siar di lorong-lorong kota mengambil pelajaran dari jalanan. belajar dari alam dan juga daripada gelagat keletah manusia yang rencam.

atau mungkin juga kerana tiada faktor 'pengecas' akibat terputusnya sebuah komunikasi. rasanya mungkin kurang sesuai penggunaan 'ter' dalam ayat sebelumnya.

fakta-fakta.
faktor-faktor.
aktor-aktor.

'you have a talent, it is such a waste to use it for trivial things' said by a friend.

terima kasih, tetapi masing-masing punya cita rasa tersendiri. yang baik jika ada ambilah sebagai tauladan. jika ada nampak yang tak baik ambil sebagai sempadan. jika kau sayang aku sebagai sahabat dan saudara seagama, maka tegurlah secara berhikmah walaupun kau mungkin cukup arif betapa 'degil'nya aku. setidak-tidaknya kau dah menjalankan tanggungjawab kau .

p/s: bukan suka-suka hendak berjiwa-jiwa. sekadar ingin menzahirkan apa yang terbuku di lubuk jiwa. terbuai atau membuai perasaan? tertipu atau menipu perasaan? aku harap aku akan jumpa persoalan-persoalan lain yang mungki terbit dari persoalan-persoalan tadi sebelum berjumpa dengan jawapannya.

bahasa dan hati

bahasa dan hati. hati-hati dengan penggunaan bahasa, ia mampu berbekas di hati meninggalkan natijah yang tersendiri.

jangan cepat jatuh hati pada bahasa yang berbunga indah.
jangan juga cepat menjeruk hati dengan bahasa yang pedih menikam.

tergantung pada ikhlas penuturnya.
Heart is sea, language is shore. Whatever sea includes, will hit the shore.

Rumi 

imej yang tersasar dan muhasabah diri

aku selalu terinspirasi, termotivasi dan muhasabah diri lewat tulisan dan nukilannya. jujur dalam hati aku membayangkan dia seperti itu dan seperti ini. bayangan luaran yang baik-baik, seperti juga sosok tulisan dan nukilannya.

lalu, ketika berpeluang melihat dia yang dia di dunia nyata, imej bayangan aku sedikit tersasar. tapi, aku tidak mahu menghukumnya kerana siapa kita untuk menjatuhkan hukuman. aku masih lagi mengaguminya, tulisannya, buah fikirannya dan juga kerja-kerja kemasyarakatannya. aku pasti, dia telah menjentik banyak hati untuk melakukan suatu perubahan di samping dia sendiri yang berjuang tentang apa yang ditulis dan dinukilkannya.

bagi, aku apa yang baik kita ambil dan yang kurang baik kita jadikan sempadan. dan dalam masa yang sama kita sama-sama berdoa agar aku, dia dan kita semua sentiasa diberikan hidayah dan kekuatan oleh Allah untuk terus melakukan penambahbaikkan dari segenap dimensi agar dapat menjadi hambaNya yang lebih baik.

aku, dia dan kita semua semuanya dalam proses pembelajaran . jangan pernah berhenti untuk belajar selagi kita punya waktu yang masih berbaki. jangan juga terlalu cepat menghukum dan menghakam sebelum kita benar-benar tahu duduk letak cerita yang sebenarnya dan mampu untuk berlaku adil hatta kepada orang yang kita anggap bersalah.

peranan penterjemah

sedang dalam cubaan untuk menterjemah keratan pendek dari sebuah buku yang sedang dibaca untuk tatapan dan perkongsian bersama teman-teman lain.

hmm... bukan sesuatu yang mudah sebenarnya untuk buat terjemahan ini sebenarnya walaupun kita mungkin faham secara kolektif apa yang kita ingin terjemahkan itu. ini kerana, agar sukar untuk memilih perkataan yang tepat untuk menggambarkan apa yang cuba disampaikan oleh penulis asal tanpa merubah ianya menjadi maksud yang lain.

tanpa perbendaharaan kosa kata yang kaya dan ilmu bahasa yang yang baik apa yang kita cuba untuk terjemahkan itu mungkin akan lari dari maksud asalnya.

salam hormat kepada semua penterjemah, anda adalah kunci-kunci penyebaran perkongsian ilmu rentas budaya dan bahasa.

p/s: secara relatifnya ianya mungkin mudah jika kita menggunakan perisian google translate, tetapi perisian tanpa jiwa itu mungkin tidak mampu menafsir setepatnya kerana kurang mengambil kira dari sudut ilmu bahasa dan ilmu memahami manusia itu sendiri.

bergurau atau cubaan untuk sinikal?

"akak tengah bergurau dengan saya ke? atau tengah perli saya?. kalau tenagh bergurau saya nak ketawa, tapi kalau tengah perli, insyaAllah saya akan ambil sebagai nasihat"
 alhamdulillah, akal aku masih waras untuk tidak meluahkan apa yang sedang meluncur laju di benak fikiran. maka tetaplah ia hanya bermain di lubuk hati. jika tidak, tidak tahulah apa yang akan terjadi selanjutnya. sama ada hamba Allah itu malu alah sendiri dikhayalak ramai atau lebih teruk silaturahim antara dua insan akan jadi dingin membeku dan janggal untuk hari-hari mendatang.
maka, lebih baik mendiamkan diri dan cuma menghadiahkan sebaris senyuman. aku 'mungkin pandai' menyusun kata-kata, tetapi satu perkara yang pasti bukan semua perkataan-perkataan yang tersusun itu mampu membahagiakan dan memberi manfaat pada orang lain. mungkin sahaja
ianya berbisa laksana sianida di dalam makanan kelihatan paling enak. kelihatan tidak berbahaya tetapi tetap membunuh.
bagi aku, sarkastik adalah sebuah cabang seni yang tersendiri. antara jenis seni yang jarang-jarang sekali tidak menarik minat aku. namun itu tidak bermakna aku adalah seorang yang bersifat sarkastik mahupun menggalakkan orang lain bersakastik.
bukan semua benda kita boleh bawa bergurau. sensitiviti wajib ada.lain padang lain belalang.banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam.lain dulang lain kakinya.rambut sama hitam, hati lain-lain.
sejujurnya, sudah agak lama telinga aku tidak membahang. huhuhu 'terkeluar' sebentar 'muka garang' aku buat beberapa saat. namun rasanya tidak sempat untuk ada yang perasan perubahan wajah aku ketika itu.
benda kecil tidak perlulah nak diperpanjangkan. jadi, apa perlunya aku merepek dekat atas tu? lebih baik selesaikan pembacaan al-kahfi daripada menaip perkara yang mungkin hanya sia-sia.  sebenarnya hendak berkongsi tentang cara-cara menangani perasaan marah daripada perspektif Islam. semoga ada manfaatnya buat saya sendiri dan mereka yang membacanya.
1. Mengubah Posisi
- Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila salah seorang di antara kamu marah, dan ketika itu ia dalam kedudukan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak, maka hendaklah ia berbaring.” (Riwayat Muslim)
2. Berwuduk
- Rasulullah s.a.w bersabda: “Marah itu datangnya daripada syaitan, dan syaitan itu diciptakan daripada api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu apabila salah seorang di antara kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk” (Hadis Riwayat Abi Daud) .
3.Minum air.
4.Mendiamkan diri ketika marah.. banyakkan istighfar di dalam hati.
5.Berlindung kepada Allah daripada syaitan .
6.Meluahkan perasaan dan masalah dalam keadaan masa dan tempat sesuai.
7.Berfikiran positif.
8.Belajar menyampaikan kemarahan secara positif dan terhormat; elakkan daripada memekik atau bertindak garang.
9. Bawa bertenang seperti menarik nafas.
10.Senyum kerana senyuman mampu meredakan tekanan.
Wallahu'alam.
P/S: siapa pernah ternampak 'muka garang' aku? hahaha buruk gila kan 

Friday, April 4, 2014

bagaimana ayah bertemu dengan ibu kamu?




akhirnya, sebuah drama bersiri yang boleh dikira 'legenda' melabuhkan tirainya.




'bagaimana ayah berjumpa dengan ibu kamu?'




terjemahan yang longgar. tetapi rasanya bertepatan.


'the love of my life'

'cinta tak semestinya memiliki'

'kalau dah jodoh' walaupun lambat bertemu jua.

.

sebuah drama yang menarik, apa yang baik <jika ada> ambil jadikan tauladan. yang tak baik pula ambil sebagai sempadan.

tak salah nak mengejar cinta sejati. sementelahan pula cinta itu fitrah. cumanya kita harus sentiasa beringat bahawa kepada yang beragama Islam, kita ada garis panduan yang telah ditetapkan.


di bawah ini aku ingin berkongsi komentar daripada teman-teman aku di fb berkenaan status ini.


------------------------------------------------------


1. At least Ted bertemu cinta sejati dua kali... bukan semua orang berezeki begitu... Jangan lepaskan apa yang di depan mata... hargai ya, Tuan Megat Ashyraf Kashakay...


2.you see acap, true love is the quest of a life time, sometimes we lose them for a while, but suddenly, there you go, they just stand there in front of our door. But what drives Ted to in front of Robin's door, its Ted's heart and it is strong enough to let them meet. It may suggest, if your heart is not strong enough, yet, mungkin bukan si dia, atau belum sampai masanya But not necessarily we have to be like them, granted true love at 50s. We're not gonna live forever. Dont wait until 50s to be with our Robin. Sekadar celahan hehe..


3.Kawan2 yang rapat semua memahami dan mengenali kau, Tuan Megat Ashyraf Kashakay, dan semuanya menasihati benda yang isinya hampir sama... Fikir-fikirkan ya, tuan.. Hehehehe


4.Ak percaya "ted" (versi perempuan) utk acap tgh carik dia jugek tu...hehehe.bz lerrr lagi kalendar jemputan walimah ak nnt.

ketinggian ilmu itu juga adalah salah satu ujian.

Bismillah,
secara umumnya saya mengangap semua orang yang mengajarkan saya walau satu huruf sekalipun adalah guru saya.

secara peribadi, saya sangat menghormati ustaz don kerana sifat rendah diri beliau dalam menyampaikan ilmu. melihat cara beliau memulakan dan menutup majlis juga ternyata berbeza dari ramai penyampai ilmu lain.

tak ramai orang yang hebat mampu berakhlak seperti itu dewasa ini. ini kerana rata-rata daripada kita <mungkin termasuk diri saya sendiri> , apabila kita kita mempunyai ilmu yang mungkin sedikit lebih dari orang lain dan kita diujui dengan kelebihan ilmu yang lebih sedikit daripada orang lain itu, kita cenderung untuk lupa diri. kita mudah merasakan diri kita sahaja yang betul dan serba tahu. keadaan akan menjadi semakin buruk apabila kita dikelilingi oleh orang-orang yang sentiasa membenarkan apa sahaja yang kita sampaikan. tidak kira perkara itu salah atau betul. lalu kita semakin berasa gah dan terus hanyut.

nauzubillah min zalik.

ini hanyalah pendapat peribadi saya secara umum dan tiada niat langsung untuk ditujukan kepada sesiapa melainkan hanya peringatan untuk diri saya sendiri dan orang yang ingin sama-sama mengambil peringatan.

kemiskinan dan ilmu pengetahuan yang kurang adalah ujian.
kekayaan dan ilmu pengetahuan yang tinggi juga adalah ujian.
malah ianya adalah lebih berat untuk diharungi kerana kita mudah hanyut dalam ilusi.

17:55 minit yang berbaloi untuk ditonton. moga-moga kita semua mendapat manfaatnya.

wallahuallam.


ini ialah pautan video yang saya maksudkan

sepurnama sudah mencari rezeki

bismillah,
alhamdulillah, sudah sebulan aku bekerja sebagai pegawai secara kontrak di sebuah kementerian. sebualan adalah suatu tempoh masa yang singkat, tetapi telah banyak perkara yang aku dapat pelajari sepanjang tempoh itu.

perkara yang aku pelajari itu tidak terhad kepada pembelajaran proses kerja sahaja tetapi mencakupi pelbagai dimensi. antaranya ialah belajar merendah diri. walaupun kita mempunyai kelulusan yang mungkin lebih baik dari kebanyakkan rakan sekerja kita, tidak semestinya kita ini lebih pandai. dengan pengalaman kerja yang mereka miliki, mereka mampu menyelesaikan sesuatu pekerjaan itu dengan lebih baik dari kita yang mempunyai pelbagai jenis lembaran sijil. apa yang penting jangan malu dan ego untuk belajar walau dari siapa pun.

insyaAllah, jika kita hormat dengan orang lain. orang lain juga akan hormat pada kita. tidak kiralah walau apa pun jawatan kita. hormat dan takut adalah dua perkara yang sangat jauh berbeza. dan kita harus tahu membezakankan.

keduanya, belajar tentang ikhtilat. alhamdulillah, sewaktu masa belajar di sekolah dan di peringkat universiti dahulu ianya agak mudah dijaga kerana berada dalam suasana sekitar yang terjaga dan sama-sama faham tentang batas pergaulan antara lelaki dan perempuan.

tetapi apabila kita berada di dunia luar kita tidak boleh menganggap semua orang yang di sekeliling kita juga faham akan perkara yang sama. mungkin mereka memang tidak tahu atau kurang jelas mengenai perkara tersebut. justeru itu, adalah menjadi tugas kita untuk menerangkannya dan jangan terus cepat melabel dan berburuk sangka kepada mereka. jika masih belum punya cukup kekuatan untuk itu, kita boleh mulakan dengan menunjukkan contoh taulan dan akhlaq yang baik dalam pergaulan seharian kita.

semoga mereka dan kita semua diberikan hidayah oleh Allah untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih baik dan akhlaq baik yang kita tunjukkan itu menjadi asbab kepada perubahan mereka.

ketiganya. tentang budaya kerja dan tetapan minda. alhamdulillah, pernah mempunyai pengalaman latihan praktikal sebagai juru audit dalaman di sebuah institusi bukan kerajaan dan sekarang ini pula sedang bekerja di sebuah kementerian.pada d masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangannya. ada perkara yang kita boleh bandingkan untuk proses penambahbaikkan dan ada juga perkara yang sukar untuk dibandingkan.

gaji??? huhuhu janganlah tanya berkenaan isu gaji. seganlah nak cakap sebab kecil sahaja jika hendak dibandingkan dengan rakan-rakan lain yang alhamdulillah juga telah bekerja. tetapi insyaAllah semoga ianya halal dan berkat.

almaklum , kerja saya cuma sebagai pegawai kontrak sahaja , tetapi alhamdulillah mencukupilah buat saya yang masih belum mempunyai tanggungan yang banyak lagi. perkara di masa hadapan , saya serahkan pada Allah. insyaAllah , rezeki kita masing-masing telah pun Allah tetapkan.

tak perlu untuk cemburu dengan apa yang orang lain ada. cukuplah kita menghargai dengan apa yang kita ada di samping lebih gigih untuk terus berusaha. kita ini kadang-kadang cepat cemburu dengan rezeki yang ada pada orang lain tetapi kita tak nampak liabiliti yang juga ditanggung mereka.

InsyaAllah , semoga aku dapat belajar tentang lebih banyak perkara lagi sebelum aku terbang lebih tinggi di tempat lain. belajar membumi sebelum terbang di langit tinggi. dengan itu InsyaAllah, kita tidak mudah cepat lupa diri.

sebenarnya ada banyak lagi perkara yang aku ingin kongsikan tentang perkara yang aku dapat pelajari tetapi mungkin belum punya idea bagaimana untuk diterjemahkan dalam bentuk kata-kata. semoga diberikan kesempatan di lain waktu. ini pun sudah dikira panjang meleret-leret.

wallahuallam.