aku juga mungkin mampu mengarang puisi dan gurindam terindah untuk mama.
aku juga mungkin membelikan segala yang ada di dunia untuk memenangi hatinya.
tapi apa mungkin aku mampu menjadi anak yang soleh yang mampu membawanya ke syurga?
apa mungkin aku mampu menjadi anak yang sentiasa mendapat redhanya?
apa mungkin dia telah memaafkan segala dosa-dosa aku?
sungguh, hanya Allah, rasul dan agama sahaja yang lebih dari darjat seorang ibu.
ada banyak ketika yang kita dan mungkin juga ibu kita sendiri tidak menyedari bahawa kita selalu membuat ibu kita berkecil hati. walaupun mungkin dia sentiasa memaafkan kita, tetapi mungkin juga masih lagi ada perkara sisa-sisa terasa hati yang masih berbaki.
sebagai seorang introvert, aku mungkin akan berkata bahawa aku mungkin lebih gemar untuk bersendiri tetapi keluarga terutamanya ibu akan sentiasa bertakhta di hati. ya, tak perlu dinafi, aku mungkin miskin cara untuk mengekspresikannya.
masih lagi bertatih untuk menjadi anak yang soleh.
masih lagi berjuang memperbaiki segala kesilapan lalu.
kerana aku tahu, aku yang ada pada hari ini belum cukup baik untuk menjadi anak yang mampu membawa ibu ke syurga.
dalam taat dan patuhku, masih banyak lagi sisi-sisi memberontak. masih tegar dengan jalan bersimpang.
aku berdoa agar aku masih punya waktu untuk semua ini.
peluang untuk membahagiakannya.
peluang untuk membuatkan mama berasa dia ibu paling bertuah kerana melahirkan aku.
peluang untuk masuk ke syurga kerana berkat doa anak-anak yang soleh.
dan satu perkara lagi yang aku harapkan....
andai dikurnia rezeki dan amanah untuk menjadi ibu bapa suatu hari nanti.
aku berharap aku mampu melakukannya sebaik yang mama dan abah telah lakukan.
jika pun tidak lebih baik.
ada banyak khilaf tentang hukum sambutan hari ibu dan aku tidak bercadang untuk membahaskannya.cukuplah sekadar agar kita benar-benar jelas berkaitan tujuan dan niat kita menyambutnya dan bukan semata kerana ikut-ikutan.
hari-hari juga hari ibu .
buat teman-teman yang barangkali sudah lagi tidak mempunyai ibu, takziah buat kalian sekeluarga. InsyaAllah, aku mendoakan agar ibu-ibu kalian sentiasa sejahtera di alam sana. Aku pasti doa mereka akan sentiasa mengiringi kehidupan kalian sehari-hari.
wallahuallam.
alhamdulillah, kerana masih diberikan kesempatan untuk berbakti kepada kedua ibu bapa.
P/s: ada banyak lagu bertemakan pengorbanan ibu, namun aku rasa terpanggil untuk berkongsi lagu berjudul arjuna beta dari fynn jamal. sebuah lagu dari kacamata ibu itu sendiri tentang anak.
No comments:
Post a Comment