Sunday, August 3, 2014

kerjaya baru. pengalaman. jalan hidup.

insyaAllah esok bakal memulakan tugas di tempat baru. pelbagai rasa bergaul sebati. sebagai seorang extrovert, mungkin agak sukar bagi aku untuk menghadapi suasana baru. hehehe tapi kita haruslah adaptasi dengan segala perkara baru dalam hidup.

jika tidak hidup dan pandangan kita akan menjadi jumud. hanya mampu melihat sekitar radius yang kecil sahaja. natijahnya, pemikiran kita hanya berlegar seputar idea-idea yang sama. membuatkan kita tidak terbuka kepada idea-idea dari orang lain.

bertebaranlah di muka bumi ini untuk mencari ilmu baru. tidak semestinya bila sudah memegang skrol di tangan itu menandakan tamat sudah misi pencarian ilmu dan fokus hanya bertukar kepada material semata. jadikanlah juga kerjaya kita sebagai medan untuk mencari ilmu baru di samping ianya sebagai ibadah. insyaAllah, berkat kehidupan dan kerjaya kita walau mungkin tidak semewah kehidupan orang lain.

minta jasa baik untuk doakan saya selamat maju jaya di tempat baru.

keputusan temuduga di sebuah 'GLC' hanya akan diketahui selepas syawal. jujur tak meletakkan harapan yang tinggi untuk itu kerana dari 10 calon temuduga tempoh hari, 5 daripadanya adalah teman-teman aku sendiri. kebetulan mungkin . kebetulan yang membuatkan aku tergelak besar pada hari tersebut. tapi semua mereka hebat-hebat belaka dengan pengalaman yang bukan kecil-kecil anak. selamat maju jaya untuk kalian semua.

job hopping. pada mulanya aku kurang bersetuju dengan perkara ini, tetapi setelah memasuki alam kerjaya , itu juga yang aku buat. secara teorinya, ingin mengambil pengalaman kerja selama 1 hingga 3 tahun sebelum bertukar kerjaya di tempat lain tetapi sudahnya dalam masa bulan mac hingga ogos tahun ini sudah masuk 3 tempat kerja yang berlainan.

bermula sebagai pekerja kontrak di sebuah kementerian,bertukar pula kepada eksekutif pemasaran bagi sebuah kolej swasta dan yang akan melapor diri esok pagi ialah eksekutif hr di sebuah syarikat it.

jika ikutkan gaji tak ada lah tinggi mana tapi insyaAllah mencukupi. cari pengalaman dulu, insyaAllah pendapatan yang lebih baik itu akan datang seiring dengan pengalaman yang telah kita kumpul. persimpangan hidup kita sebagai manusia semuanya berlainan, ada yang dapat simpang jalan pintas dan ada pula yang penuh ranjau berduri. namun masing-masing ada dugaannya yang tersendiri.

jalan mudah dan pintas , kebiasaannya membuatkan kita mudah lupa diri dan lalai menikmati nikmat keindahan pemandangan di kiri kanan jalan. sementara ujian bagi jalan penuh ranjau berduri pula ialah kita berkemungkinan untuk putus asa dengan rahmat Allah dan sentiasa merungut dan mempersoalkan takdir dan rezeki. kesusahan itu membuat kita lupa akan ganjaran yang bakal diperolehi di akhir destinasi nanti.

tak kiralah jalan persimpangan mana yang kita ambil dan ikut, insyaAllah pastikan kita menuju ke destinasi yang diredhai Allah. aku percaya jalan ke syurga itu bukan hanya satu, jadi kita tidak boleh terlalu mudah menyangka yang bukan-bukan mengenai jalan orang lain tanpa nas dan bukti yang kukuh.

p/s: seorang sahabat berkata, " kau tulis panjang-panjang ni kau ingat ada orang nak baca ke? hahaha baik kau 'up kan' gambar 'selfie' satu, aku rasa lagi banyak orang like" hahaha, aku menulis merepek panjang-panjang ni bukannya aku harapkan orang 'like', itu bukan tujuannya. sekadar menulis untuk kepuasan diri dan jika ada perkara yang baik ambillah sebagai teladan dan yang buruk itu ambil sebagai sempadan. sementelahan pula, aku bukannya fotogenik sangat nak upload gambar banyak-banyak. nanti muntah hijau pula orang menengoknya nanti.

p/s/s: aku selalu berharap andai kata satu masa nanti anak-anak aku mencari profile aku di fb, mereka tidak malu untuk membaca perkara yang aku tulis. setidak-tidaknya, aku menulis sebaik mungkin dengan ejaan yang tepat. susahlahkan nak jumpa aku mengeja seperti " aque, ittew, jew, awaks" dan yang sewaktu dengannya

No comments:

Post a Comment