Alhamdulillah, saya baru pulang dari pusat bandar Kuala Lumpur dengan menaiki sebuah bas awam. Seperti sedia maklum, ketika waktu puncak agak sukar untuk mencari tempat duduk di dalam bas. Syukur sekali lagi apabila ada seorang lelaki berusia separuh abad menawarkan tempat duduk di sebelahnya kepada saya.
Dia bekerja sebagai seorang buruh binaan dan berasal dari Surabaya. Sejurus saya melabuhkan punggung ke kerusi, dia langsung memperkenalkan diri dan kami terus berbual hingga saya tiba ke destinasi saya di Jalan Ampang Kiri.
Apa yang mengagumkan saya ialah lelaki tadi mampu berbicara soal makroekonomi, sosio budaya, agama dan beberapa isu semasa dengan begitu baik sekali walaupun dia hanyalah seorang buruh binaan yang kelihatan biasa sahaja di mata kasar.
Ilmu Allah itu luas dan tidak hanya ada di universiti atau di mana-mana pengajian tinggi sahaja. kadang-kadang dari diskusi rawak kita bersama orang-orang yang kita jumpa di jalanan itu lebih bermakna dan 'ilmiah' dari masa satu jam kita di bilik kuliah. ini hanyalah perbandingan secara relatif sahaja dan tidak boleh digunapakai untuk semua situasi.
Perbualan kami juga menyentuh soal perkahwinan, soal rezeki dan pendidikan anak-anak. Alhamdulillah, Allah tak pernah putus-putus menghantar orang-orang untuk menasihati saya tentang persoalan-persoalan ini. InsyaAllah, bila tiba waktunya akan bertemu juga dengan jodohnya.
Pak cik itu juga sempat mengingatkan saya tentang 3 perkara yang akan bermanfaat buat anak adam walaupun setelah meninggal dunia.
1) doa anak yang soleh (sebab itu dia mendoakan saya segera dipertemukan jodoh agar ada zuriat yang akan mendoakan saya kelak)
2) amal jariah (jangan lupa untuk bersedekah terutamanya kepada perkara yang dapat digunakan oleh masyarakat lainnya)
3) ilmu yang bermanfaat (jika ada sebarang ilmu yang baik jangan lupa untuk ajarkan kepada orang lain)
p/s: walaupun hanya bekerja sebagai buruh binaan, tetapi dia mampu menyumbang serba sedikit kepada pembiayaan sebuah pondok agama di kampungnya. insyaAllah, semoga kita juga mampu berbuat amal jariah seperti beliau. persoalannya bukan berapa banyak, tetapi usaha kita untuk istiqamah untuk melakukannya.
wallahuallam.
P/S/S: ingin juga meminta jasa baik sahabat-sahabat yang membaca status saya ini untuk sama-sama mendoakan kesejahteraan sahabat-sahabat saya dari UIAM yang baru sahaja terlibat dengan kemalangan bas sebentar tadi.
No comments:
Post a Comment